
SEJARAH CINA BELAGA
Siapakah orang Cina pertama menetap di Belaga? Menurut cerita, keluarga Cina pertama di Belaga adalah Neo Teck Hua (Daniel Chew, 1990:88-89). Beliau mula berdagang, mengguna perahu sekitar tahun 1880. Dibantu oleh enam orang tempatan, beliau berdagang sehingga ke Lusong Laku, di kalangan Kayan, Kenyah dan Penan (dipanggil Punan oleh Kayan dan kenyah).
Beliau menjual manik (beads), kain, dan tembikar. Manik dianggap barangan mewah dikalangan Kayan, Kenyah dan Kajang.
Menurut Neo Teck Hua, bapa beliau pernah melarikan diri dari Penan di Lusong Laku sekitar tahun 1910. Ini ekoran beberapa tahun sebelum itu, ramai Penan menjadi mangsa kepada orang Iban. Kebetulan Neo memiliki senapang, lalu menembak ke arah Penan yang menyerang mereka. Penan kemudian lari bertempiaran.
Dari Penan, Kayan dan Kenyah Neo mendapat damar, getah percha, dan jelutong. Barangan tersebut kemudian dijual oleh beliau samada di Kapit, Kanowit atau Sibu. Menurut Neo, perjalanan dari Kapit ke Belaga pada masa tersebut mengambil masa dua atau tiga hari bergantung kepada keadaan air sungai.
Selepas kubu Belaga (Fort Vyner) siap tahun 1884, jumlah Cina berniaga di Belaga semakin bertambah. Pada tahun 1896, seorang pedagang Cina mati dibunuh oleh Kenyah dari Baluy. Kisahnya, seorang Kenyah tidak berpuashati dengan harga barang (getah perca) yang diberi oleh peniaga. Selepas itu, beliau diejek pula peniaga Cina tersebut bersama orang suruhannya. Akhirnya Orang Kenyah bertindak balas dengan membunuh tauke Cina itu.
Kes tersebut langsung diberitakan kepada Raja di Kuching. Beberapa bulan lepas itu Rajah Charles Brooke mengarahkan beribu-ribu Iban dari hilir Rejang untuk melancarkan Badeng Expedition 1896, dikenali juga sebagai second Kayan Raid (Peter Metcalf 2010).
Akibatnya, beribu-ribu Kayan, Kenyah, Kajang terpaksa melarikankan diri dan tidak kurang yang mati. Laporan mengatakan lebih 400 orang menjadi mangsa Badeng Exepdition, majoriti adalah kaum Kajang (Punan, Sekapan dan Kejaman) kata Jayl Langub (2016). Namun, jumlah sebenar korban Badeng Expedition tidak diketahui.
Paling terkesan adalah kaum Punan. Brooke Low melaporkan terdapat 7 buah rumah Panjang Punan pada tahun 1882, empat Kejaman, dan dua Kayan di antara Pelagus dan Belaga. Selepas Badeng Expedition tahun 1896, hanya tinggal 3 buah rumah panjang Punan di Rejang. Manakala Kejaman (2), dan kesemua komuniti Kayan di Sungai Sama (dekat Pelagus) berpindah ke Baluy.
Kini, ada keluarga Cina di Belaga, lebih fasih berbahasa Kayan, Sekapan, Kejaman, Kenyah, dan Penan berbanding Mandarin. Ramai juga yang telah berkahwin dengan orang tempatan.