SUKU BADENG LONG GENG

Posted: September 7, 2021 in Uncategorized
LONG GENG

Kisah Badeng Long Gang Seperti yang kita ketahui dan sedia maklum, kawasan hulu sungai adalah sinonim dengan masyarakat orang ulu. Dahulu kala, etnik orang ulu suka hidup berpindah randah untuk mencari makan. Nama orang ulu dibuat oleh kerajaan Sarawak bertujuan untuk gelaran khas kepada gabungan kesemua suku kaum yang tinggal di hulu sungai seperti Kayan, Kenyah, Kajang, Lun Dayeh, Penan, Ukit, Beketan, dan etnik-etnik minoriti lain yang kita tidak sebutkan disini.

Salah satu sub-etnik Orang Ulu Kenyah yang kita akan fokuskan disini adalah Kenyah Badeng. Sejarah kewujudan etnik Kenyah Badeng di Sarawak mempunyai kisah tersendiri. Ratusan tahun dahulu, Kenyah Badeng telah mendiami sebuah tempat di hulu Sungai Murum iaitu Usun Apau Sungai Peliran dan Sungai Danum. Selain Kenyah Badeng, ada juga etnik minoriti Orang Ulu lain yang turut mendiami Usun Apau Sungai Peliran dan Sungai Danum. Semasa tinggal di Usun Apau, Kenyah Badeng tidak dapat lari dari sejarah hitam, krisis peperangan dengan jiran bersebelahan, iaitu etnik Lahanan di Batu Biyang dan etnik Kejaman di Sawa’ Latai. Krisis perang ini berlaku atas sebab-sebab tertentu.

Bercakap tentang era pemerintahan Brooke di Sarawak, etnik Kenyah Badeng salah satu etnik yang enggan tunduk dibawah kuasa Rajah Brooke. Rundingan demi rundingan telah diatur oleh kerajaan Brooke untuk membawa etnik Kenyah Badeng supaya tunduk seperti kebanyakan etnik-etnik yang lain. Namun, Ketua etnik Badeng berkeras untuk melawan dan beliau mengistiharkan bahawa Usun Apau adalah Wilayah Kenyah Badeng yang tidak perlu campurtangan pemerintah lain. Alasan demi alasan dicari oleh Kerajaan Brooke untuk menundukkan Kenyah Badeng, namun tidak berjaya. Akhirnya, pada tahun 1895 dan tahun 1896, kerajaan Brooke telah menghantar tentera upahan yang terdiri dari bangsa pribumi Sarawak sendiri untuk menyerang Usun Apau. Kerajaan Brooke mengatakan bahawa serangan tersebut dibuat sebab Kenyah Badeng selalu mengancam etnik lain yang tinggal berdekatan dan juga dituduh bertanggungjawab dalam pembunuhan terhadap bangsa lain sekitar mereka.

Pertempuran berlaku di tiga buah tempat iaitu di Long Taa, Long Ca’ dan Long Petan. Ketiga-tiga tempat tersebut mempunyai bilangan penduduk yang kecil sahaja. Sebuah tempat yang mempunyai penduduk paling ramai ialah Long Ampan Aing. Tentera upahan Brooke tidak berani bertempur dan mengundur diri sebab ‘firasat’ (bad omens) mengatakan perkara buruk akan berlaku terhadap mereka sekiranya tetap maju. Selepas kejadian perang tersebut, etnik Kenyah Badeng tetap tinggal di Usun Apau. Pada April 1899, satu Perjanjian Damai telah dibuat oleh Kerajaan Brooke di Marudi bertujuan untuk berdamai dengan Kenyah Badeng. Wakil semua etnik dijemput hadir dan rundingan tersebut menemui satu kata putus supaya tiada lagi perang berlaku. Upacara ritual angkat sumpah (petutung) dengan darah babi dibuat. Seramai 6000 pahlawan kesemuanya yang hadir dalam pertemuan tersebut dimana ia dikatakan kehadiran perjanjian damai klasik yang paling ramai dalam sejarah kerajaan Brooke.

Selepas perjanjian damai tersebut, ketua etnik Kenyah Badeng masih kurang percaya dengan Kerajaan Brooke dan beliau menganggap ia cuma sebuah muslihat kerajaan. Ditambah pula oleh “Penglihatan” daripada seorang yang mempunyai “Bali Dayung”, yang juga mengatakan bahawa akan ada lagi satu serangan ke Usun Apau menyusul. Dari Usun Apau, etnik Kenyah Badeng telah berpecah kepada beberapa tempat iaitu ke Sungai Bahau(Alo Ba’u) Kalimantan Indonesia, Long Boi Kalimantan Indonesia dan Lio’ Mato Baram Sarawak. Kumpulan yang ramai ialah yang berpindah ke Long Boi. Mereka tinggal di Long Boi tidak lama sebab terlalu dekat dengan Kenyah Lepo Tau, lalu mereka berpindah ke Long Batang, jauh sedikit dari Kenyah Lepo Tau.

Hubungan antara Kenyah Badeng dengan Kenyah Lepo Tau adalah sangat baik seperti adik beradik. Pada 16 November 1924, satu lagi Perjanjian Damai diatur oleh Kerajaan Brooke, bertujuan untuk perdamaian antara Kayan Kenyah dari hulu Batang Rajang dan Kayan Kenyah dari Apau Kayan dengan Iban dari Batang Ai dan Iban dari Batang Rajang. Sebanyak 95 buah perahu dari Apau Kayan hadir dalam perjanjian damai tersebut yang diketuai oleh Tama Kila. Seramai 4000 pahlawan berkumpul dalam perjanjian Damai di Kapit tersebut. Dalam perjanjian damai tersebut, tidak ada lagi etnik dibenarkan menyerang (ngayau) etnik lain. Selepas perjanjian damai tersebut, satu kumpulan Kenyah Badeng dari Long Batang datang ke Sarawak untuk berunding dengan kerajaan Sarawak perihal perpindahan semula ke Usun Apau. Perjumpaan tersebut diadakan di Musang Maling (Sibu) dan Kerajaan Sarawak menerima baik dan bersetuju dengan rancangan perpindahan semula Kenyah Badeng tersebut.

Wakil dari kerajaan Sarawak hadir ke Long Batang untuk berunding dengan Kerajaan Belanda yang memerintah Kalimantan ketika itu. Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Belanda menemui kata putus dan bersetuju dengan perpindahan tersebut. Akhirnya, pada tahun 1927, satu kumpulan kecil Kenyah Badeng (60 keluarga) meninggalkan Long Batang untuk balik semula ke tempat asal mereka di Usun Apau. Kumpulan yang ramai pula tidak dapat menyertai perpindahan tersebut atas alasan tertentu. Perjalanan kumpulan Kenyah Badeng dari Long Batang , Apau Kayan Kalimantan ke Sarawak adalah menyusuri dari hulu Sungai Baliw (Batang Rajang). Mereka memasuki sungai Linau dan tinggal di Long Besungai. Lebih kurang 1 tahun di muara Long Besungai, mereka berpindah semula ke Data Bonget(Leka’ Pada), yang mana masih lagi dalam aliran Long Besungai. Lebih kurang 2 tahun di Data Bonget, mereka berpindah ke Sungai Tekulang. Mereka menetap agak lama di Sungai Tekulang.

Sejak beberapa tahun disana, mereka rasa tanah untuk mencari makan tidak berapa sesuai. Lalu mereka bermesyuarat untuk berpindah samaada ke Usun Apau atau ke Lusong Laku. Hasil perbandingan, Lusong Laku yang belum diduduki ketika itu, agak banyak kelebihan berbanding Usun Apau. Akhirnya, mereka memutuskan untuk berpindah ke Lusong Laku. Khabar tentang rancangan perpindahan Kenyah Badeng ke Lusong Laku telah sampai ke pengetahuan pihak pentadbiran Belaga. Mereka melarang dan tidak membenarkan perpindahan tersebut. Sebaliknya mereka mencadangkan agar Kenyah Badeng menetap di Long Gang, Keluan. Namun, ketika itu tempat tersebut telah diduduki oleh Kayan Uma Lesong. Pentadbiran Belaga telah mengatur agar Kayan Uma Lesong mengosongkan kawasan tersebut untuk diserahkan kepada Kenyah Badeng. Akhirnya, pada tahun 1946, Badeng Tekulang berpindah ke Long Gang, Keluan. Walaubagaimanapun, tidak semua mereka bersetuju pindah ke Long Gang, Keluan.

Oleh sebab itu, ada beberapa keluarga telah berpindah ke Long Malim Sungai Danum dan ada juga beberapa keluarga yang tetap tinggal di Tekulang. Ketua di Long Gang telah mendesak agar kumpulan yang berpindah ke Long Malim dan Kumpulan yang tetap tinggal di Tekulang agar menyertai beliau ke Long Gang, Keluan. Akhirnya, semua mereka bersatu semula di Long Gang Keluan apabila campurtangan pihak berkuasa. Persempadanan kawasan dibuat oleh pentadbir Belaga bahawa kawasan Badeng adalah dari Giam Talang ke hulu. Selepas beberapa tahun menetap di Long Gang sungai Keluan, satu kumpulan kecil Kenyah Badeng dari Long Betao Kalimantan datang menyertai Badeng Long Gang. Mereka diterima dengan baik oleh Ketua Badeng Long Gang.

Namun, beberapa tahun tinggal bersama, kumpulan kecil dari Betao tersebut minta berpindah semula, dan akhirnya mereka berpindah ke Uma Nyaving Long Mejawah. Sekolah Rendah Kerajaan Long Gang telah dibina dan dibuka pada tahun 1965. Sejak sekolah ini dibuka, ramai Kenyah Badeng yang celik huruf. Sebelum itu, kebanyakan mereka buta huruf. Kemudahan klinik juga telah diberi kepada penduduk Long Gang. Mereka berasa sangat selesa dan terus hidup menetap tanpa berfikir untuk berpindah lagi.Pada 15 November 1998, sekali lagi perpindahan yang luarbiasa berlaku. Namun kali ini bukan atas kehendak sendiri, tapi atas paksaan kerajaan sebab Empangan Bakun. Semua penduduk yang terjejas oleh Empangan Bakun dipaksa berpindah ke penempatan semula di Sungai Asap, Apau Koyan. Kenyah Badeng Long Gang, Keluan ditempatkan di kawasan penempatan semula tersebut dengan nama baru Lepo’ Badeng Sungai Koyan. Namun, ada yang tidak bersetuju dengan perpindahan tersebut dan balik semula ke tapak lama Sungai Tekulang, yang diberi nama Long Lawen. Ada juga beberapa keluarga yang berpindah ke tapak lama Long Malim Sungai Danum.

Malang menimpa kumpulan yang berpindah ke Long Malim Sungai Danum sebab sekali lagi dipaksa berpindah akibat Empangan Murum. Kenyah Long Malim diletakkan di penempatan semula yang diberi nama Malim Kenyah. Kini, kumpulan kecil Kenyah Badeng yang balik semula ke Sarawak pada tahun 1927 terbahagi kepada 5 tempat iaitu Badeng Koyan, Badeng Long Lawen, Badeng Magan, Badeng Sekilut dan Malim Kenyah Badeng. Sebagai kesimpulan, Etnik Kenyah Badeng yang dahulunya bersatu di Usun Apau, kini tinggal berselerakan di beberapa tempat di Sarawak dan Kalimantan Indonesia. Di Sarawak Kenyah Badeng tinggal di Data Kakus, Long Busang, Long Dungan, Long Biak, Senep, Long Koyan, Long Lawen, Magan, Sekilut, Malim Kenyah, Sungai Dangang, Lio’ Mato, Long Urun Anthony dan Long Urun Asmidy. Manakala di Kalimantan Indonesia, ialah di Long Betao, Long Bena, Long Peliran, Binai dan Bena Baru.

Sumber: <a href="http://<iframe src="https://www.facebook.com/plugins/post.php?href=https%3A%2F%2Fwww.facebook.com%2Fachilles.arshang%2Fposts%2F4532528840165037&show_text=true&width=500&quot; width="500" height="303" style="border:none;overflow:hidden" scrolling="no" frameborder="0" allowfullscreen="true" allow="autoplay; clipboard-write; encrypted-media; picture-in-picture; web-share">Cikgu Gani Kiin

Tinggalkan komen